Matlee CP Enterprise telah ditubuhkan bertitik tolak atas impian dan inspirasi daripada pengurusnya sendiri. Penubuhan syarikat ini juga atas kesedaran bahawa sektor perkhidmatan pelancongan dan rekreasi ini semakin diterima dan mula mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat. Menyediakan perkhidmatan pelancongan dan rekreasi air yang lebih efisyen dan sempurna.

“Your Smile Our Best Returns” Bermatlamat agar para pelancong tempatan mahupun luar dapat melancong serta beriadah dengan selesa, sempurna dan ekonomis.

Saturday 26 October 2013


Ilmiah - Perkongsian Bersama Tentang Keselamatan Pelayaran

KESELAMATAN PELAYARAN 

1. Berapakah purata bilangan kemalangan perkapalan di Perairan Selat Melaka dalam setahun?
Purata bilangan kemalangan perkapalan di Perairan Selat Melaka adalah 2 kejadian setahun. Sejak Skim Pemisah Trafik diperkenalkan bilangan kemalangan perkapalan telah dapat dikurangkan.


2. Apakah yang dimaksudkan dengan alat bantuan pelayaran?

Alat Bantuan Pelayaran adalah suatu peralatan atau sistem atau gabungan kedua-duanya yang memberi panduan kepada pelaut membuat pelayaran dengan selamat. Alat bantuan pelayaran yang disediakan oleh Jabatan Laut ialah rumahapi, tandarah suar, pelampung pandu, Sistem Pelayaran Satelit (SISPELSAT) dan Sistem Pengenalan Kapal.


3. Apakah kegunaan Rumahapi ?

Tujuan Rumahapi dibina adalah untuk memberikan pedoman atau petunjuk kepada pelaut-pelaut untuk menentukan kedudukan mereka pada sesuatu masa dan ianya juga sebagai penandaan pintu laluan keluar masuk sesuatu perairan. 


4. Apakah yang dimaksudkan dengan kerlipan lampu yang dipasangkan pada sesuatu rumahapi?

Kerlipan lampu yang dipasangkan pada alat bantuan pelayaran adalah untuk membezakan diantara satu rumahapi dengan rumahapi yang lain yang mana kerlipan lampu tersebut secara tersendirinya akan memaparkan identiti sesuatu rumahapi tersebut.


5. Berapakan jarak maksimum cahaya lampu yang dipasang pada rumahapi dapat dilihat?

Jarak maksimum cahaya lampu yang dipasangkan pada sesuatu rumahapi adalah berbeza-beza kerana ianya bergantung pada ketinggian lampu, jenis lampu, keadaan cuaca dan ketinggian pemerhati. Kebanyakan Rumahapi di Malaysia mempunyai julat maksimum cahaya lampu kira-kira 23 batu nautikal.


6. Apakah kegunaan Tandarah Suar?

Tujuan pembinaan Tandarah Suar adalah untuk menandakan alur pelayaran, batuan, beting dan lain-lain. Tandarah Suar mempunyai binaan tetap di sesuatu lokasi yang telah ditetapkan.


7. Apakah kegunaan pelampung pandu yang telah dipasangkan di sepanjang Perairan Malaysia?

Pelampung Pandu merupakan pelampung yang terapung di permukaan air yang telah diikat dengan rantai (kili-kili) dan pemberat yang diletakkan ke dasar laut. Tujuan dipasangkan pelampung pandu ini adalah untuk menandakan had lebar alur pelayaran, penandaan kapal karam, labuhan dalam, kawasan bahaya dan lain-lain di sepanjang Perairan Malaysia yang bertujuan memberikan panduan kepada pengguna-pengguna perairan.


8. Sekiranya berlaku kerosakan atau kecurian pada peralatan alat bantuan pelayaran yang dipasangkan sepanjang Perairan Malaysia, kepada siapakah aduan kerosakan perlu dilaporkan?

Sebarang aduan kerosakan boleh dilaporkan kepada pegawai di Ibu Pejabat dan Pusat Komunikasi Maritim, pegawai bertugas di wilayah masing-masing di talian berikut untuk tindakan selanjutnya.

Sumber - Jabatan Laut Malaysia